Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh,
Segala puji-pujian hanya bagi Allah S.W.T, Tuhan sekalian Alam. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya. Bulan Ramadhan menjelma lagi dengan segala keberkatan dan kemuliaannya. Mudah-mudahan kita semua bakal menunaikan ibadah puasa iaitu Rukun Islam ketiga dengan penuh keikhlasan. Marilah kita bersama-sama merebut nikmat dan rahmat pada bulan ini. Marilah kita melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang mungkar.
Sahabat sekalian,
Pada 13 Ogos 2010 yang lalu, maka genaplah 24 tahun kepemergiaan Almarhum Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad menemui Penciptanya. Beliau pergi dengan meninggalkan kepada kita sebuah khazanah dan warisan yang sangat berharga. Beliau meninggalkan kepada kita keluarganya dan Silat Cekak. Sehubungan dengan itu, saya ingin meyeru seluruh ahli Silat Cekak Hanafi Cawangan Melaka supaya jangan sesekali berpisah atau memisahkan diri dengan ahli keluarganya dan terus menjadi pendukung setia pergerakan Silat Cekak Hanafi yang dipimpin oleh YM Tuan Sheikh Haji Md. Radzi Bin Haji Hanafi.
Sahabat sekalian,
Silat Cekak ini dizahirkan semula oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad pada malam 5 Ramadhan 1385 bersamaan 28 Disember 1965. Ini bermakna, pada tanggal 5 Ramadhan 1431 yang lalu, maka genaplah usia silat ini yang ke 46 tahun Hijriah. Silat ini dizahirkan pada bulan yang penuh berkat iaitu Ramadhan. Bulan yang mana kebanyakan peristiwa-eristiwa besar yang berlaku dalam sejarah Islam seperti Perang Badar, Pembukaan Kota Mekah, Pembukaan Andalus dan lain-lain lagi. Ianya menggambarkan seolah-olah Silat Cekak ini sangat istimewa serta juga seperti membawa maksud bahawa walaupun di dalam keadaan berpuasa, perjuangan tetap juga terus begerak dan diteruskan.
Sahabat sekalian,
Dengan mengambil berkat Ramadhan ini juga, Silat Cekak Hanafi Cawangan Melaka mengambil inisiatif untuk melancarkan lawan webnya secara rasmi iaitu schmelaka.com. Mudah-mudahan, dengan adanya laman ini, segala informasi dapat disalurkan dengan pantas dan tepat kepada ahli-ahli dan juga ianya meletakkan Silat Cekak Hanafi Cawangan Melaka tidak ketinggalan dari perkembangan teknologi semasa.
Akhir kata, sama-samalah kita bersatu menegakkan kebenaran dan mengharungi bulan Ramadhan yang penuh cabaran serta dugaan ini dengan penuh ketakwaan. Semoga segala amal ibadat kita pada bulan ini diberkati Allah S.W.T.
Sekian, wassalam.
Satu Suara, Satu Hati
Anuar Bin Othman
17 Ogos 2010
7 Ramadhan 1431H
